lawati Penaja cikgusejarah.blogspot.com

Suka blogcikgusejarah

Akronim Untuk Tajuk Gerakan Islah

Followers

Suka cikgusejarah

Penaja Blog cikgusejarah

Wednesday, March 31, 2010

Kerja Kursus Ting 3 Sejarah 2010 ( Perayaan di Malaysia )

JENIS-JENIS PERAYAAN DI MALAYSIA

Perayaan bagi masyarakat Sikh, Vaisaki dikatakan telah diasaskan oleh Guru Amar Das pada 1567. Ia adalah hari istimewa di mana semua penganut Sikh berkumpul untuk mendapat restu Guru-Guru mereka.Pada 1699, Guru Gobind Singh mengumpul ribuan penganut Sikh di Anandpur Sahib dan mengasaskan undang-undang Khalsa. Beliau mengorbankan lima orang pemuda yang berani dalam upacara ini.

Hari Vaisakhi yang disambut pada 13 April setiap tahun ini dianggap hari lahir bagi undang –undang Khalsa masyarakat Sikh.Pada hari ini, Masyarakat Sikh melawat Gudwara ( kuil ) dan mengadakan perarakan yang meriah diadakan. Ramai juga yang memilih untuk menjadi sami dan mengamalkan ajaran Khalsa pada hari ini. Bendera suci ‘Nishan Sahib’ di Gudwara juga diganti dengan yang baru pada hari Vaisakhi.

Krismas ( Hari Natal)

Menandakan kelahiran Jesus Christ yang bertarikh 25 Disember tahun pertama masehi, di Baitullaham. Ia adalah masa bagi keluarga dan rakan taulan berkumpul, memupuk cinta dan kasih sayang antara penganut Kristian.

Walaupun kemeriahan Krismas di negara kita agak kurang tanpa salji dan suhu sejuk, tetapi ia tetap dirayakan dengan meriah setiap tahun. Tambahan pula, Krismas adalah perayaan global dan sekular berbanding makna keaagamaan. Satu imej penting dalam perayaan Krismas ialah Santa Claus, orang tua gemuk berbaju merah dan berambut putih, yang datang dari kutub utara untuk memberi hadiah. Khabarnya Santa Claus berasal dari watak St. Nicholas, yang gemar memberi makan kepada kanak-kanak di masa Krismas.

Di Malaysia, masyarakat Kristian yang membentuk 7 peratus populasi mengamalkan ‘advent’ iaitu selang masa empat minggu sebelum Krismas diisi dengan bacaan doa, membaca Bible, dan berpuasa.
Perkataan advent itu bermaksud ‘datang’ yang membawa maksud kelahiran dan kematian Jesus Christ.

Di Gereja Katolik, terdapat upacara membakar lima batang lilin, yang mewakili lima minggu sebelum Krismas. Setiap lilin berwarna berlainan, dan membawa maksud-maksud tertentu. Lilin pertama bernama lilin ‘Hope’, kedua ‘Peace’, ketiga ‘Joy’ dan keempat ‘Love’.

Apabila Krismas semakin hampir, rumah- rumah dihias indah indah,pokok Krismas didirikan, kad ucapan diedar, dan lagu-lagu perayaan dimainkan berulang kali. Terdapat juga hadiah yang diletak dibawah pokok Krismas.

Adalah menjadi kebiasaan jika kita melihat kumpulan koir menyanyi di gereja-gereja malah ada juga yang berpakaian Santa dan melawat kejiranan, rumah anak yatim, orang tua dan hospital bagi meraikan mereka yang kurang bernasib baik.

Malam Krismas ialah malam yang ditunggu-tunggu, sanak saudara akan berkumpul, masa untuk doa dan kesyukuran telah sampai. Biasanya ‘Nativity play’ atau pertandingan ratu cantik perayaan akan juga diadakan.

Di malam Krismas juga akan terdapat kumpulan ‘carol’ yang menyayi lagu-lagu keagamaan dan semangat dari pintu ke pintu. Apabila tiba tengah malam keluarga akan makan ‘supper’ sebagai upacara menghormati Jesus Christ.Dimasa ini jugalah mereka bertukar hadiah dan membuka hadiah masing-masing.

Pagi Krismas, penganut Kristian akan bersembahyang di gereja, sebelum pulang ke rumah dan menunggu kedatangan tetamu.Dalam konsep rumah terbuka sekarang, perayaan menjadi semakin meriah dengan kedatangan kaum lain. Antara juadah yang biasa dihidangkan ialah kekacang, buah buahan, pai, dan ayam belanda bakar,termasuk juga rendang dan kari.

Walaupun Krismas adalah sambutan sehari sahaja, tetapi semangat dan kemeriahannya berlangsung hingga ke tahun baru.

Deepavali

Dikenali oleh masyarakat Hindu sebagai pesta cahaya,Deepavali atau Diwali adalah simbol kebaikan menumpaskan kejahatan, cahaya menumpaskan kegelapan. Di hari ini, kerajaan mengishytiharkan satu hari cuti umum.

Hari Deepavali jatuh pada bulan ketujuh dalam kelender Hindu, biasanya pada bulan Oktober atau November.Oleh kerana namanya Pesta Cahaya, ia disambut dengan cahaya dan lampu oleh penganut Hindu.Asal usul perayaan ini adalah berkaitan dengan pertembungan antara Dewa Rama dengan Ravana, dimana kemenangan berpihak pada Dewa Rama, yang akhirnya berjaya merampas Sita dari Ravana yang jahat.Selain itu terdapat juga pelbagai cerita lain yang berkaitan dengan perayaan ini, seperti pergaduhan antara Dewa Krishna dengan Syaitan Asura- yang dimenangi oleh pihak baik lantas dirayakan dengan pelita dan lampu-lampu.

Bagi persiapan Deepavali, penganut Hindu akan membersihkan rumah mereka, hiasan seperti kolams dibuat, dan lampu ‘vilakku’ dipasang. Lampu ini adalah sejenis pelita tradisi yang diperbuat dari tanah liat.Perayaan juga bertambah seri dengan lampu-lampu moden.

Penganut Hindu juga percaya yang Dewi Laksmi, iaitu dewa kekayaan dan kemakmuran akan datang melawat rumah pada masa ini.Jadi persiapan ini juga akan dibuat untuk menyambutnya.

Selain dari itu, penganut Hindu juga membersihkan diri dan jiwa mereka, dengan mengamalkan puasa, hanya makan sayuran, dan bermeditasi.Di hari Deepavali ini, pertelingkahan akan dilupakan, manakala kemaafan akan mendapat penghargaan.

Pada pagi Deepavali, mereka akan bangun awal, untuk upacara mandi minyak. Ia adalah simbol kepada penyucian diri.Kemudian mereka menuju ke kuil untuk bersembahyang.Setelah itu, sepanjang hari mereka akan berkunjung ke rumah saudara dan sahabat handai. Walaupun penganut Hindu adalah Vegetarian, tetapi Deepavali tetap diserikan dengan banyak makanan yang enak seperti daging manis, pudding, dan murukku.

Chap Goh Mei

Lima belas hari selepas Tahun Baru Cina merupakan hari Chap Goh Mei disambut sebagai menandakan berakhirnya perayaan Tahun Baru Cina. Pesta Chap Goh Mei disambut dengan mengadakan upucara sembahyang secara besar-besaran, di mana colok besar akan dibakar dan juga diadakan makan besar bersama keluarga. Bunga api dibakar dan tanglung dinyalakan bagi meraikan Chap Goh Mei.

Chap Goh Mei juga dianggap sebagai malam mencari pasangan di mana para gadis akan berpakaian serba indah dan mengunjungi kuil untuk berdoa agar mendapat pasangan yang secucuk. Terdapat juga amalan melontar buah limau ke dalam laut atau sungai dengan doa untuk mendapat pasangan. Buah limau yang basah membawa pesanan agar mereka mendapat pasangan yang sesuai. Persembahan kebudayaan Cina akan diadakan pada waktu malam bagi menandakan perayaan Chap Goh Mei seperti perarakan tanglung, tarian naga atau singa, dan mengimbang bendera besar "Chingay".

Hari Raya Aidilfitri

Ramadhan ialah satu bulan dimana semua umat Islam berpuasa, bermula dari subuh hingga ke maghrib.Selain dari larangan terhadap makan dan minum, umat Islam juga dilarang memasukkan sesuatu kedalam rongga, merokok, dan melakukan hubungan seks di waktu siang.Hanya mereka yang benar-benar uzur sahaja diizinkan untuk tidak berpuasa. Ramadhan juga adalah bulan dimana umat Islam menyucikan diri dengan menambah amal ibadah, seperti solat terawih di malam hari, berzikir, dan berzakat. Berpuasa juga bermaksud menahan diri dari melakukan perbuatan mungkar seperti menipu, mengata orang lain, berbohong dan perbuatan dosa lain.

Ibadah puasa diajar termasuk kepada anak-anak kecil.Terdapat satu malam di bulan Ramadhan yang dipanggil malam Lailatul Qadar. Ia bermaksud malam yang lebih baik dari seribu bulan. Umat Islam digalakkan memperbanyakkan ibadah di malam itu.

Ibadah zakat, iaitu bersedekah sebahagian dari harta kepada pihak-pihak yang tertentu adalah juga rukun Islam seperti puasa. Zakat fitrah yang dikeluarkan pada bulan Ramadhan adalah bertujuan menyucikan harta dan rohani dari kemungkaran. Ia mesti ditunaikan sebelum akhir Ramadhan

Ketibaan bulan Syawal, iaitu bulan umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri bermula dari terbenamnya matahari pada 30 haribulan Ramadhan. Ia biasanya di sahkan lagi dengan upacara melihat anak bulan.

Aidilfitri adalah masa untuk kemeriahan dan kemaafan.Kemeriahan Hari Raya ditonjolkan dengan kembalinya beramai-ramai warga kota ke kampong. Upacara yang digelar ‘balik kampung’ ini menyebabkan kota-kota besar menjadi lengang dan jalanraya menjadi sesak. Masing-masing ingin merayakan Aidilfitri bersama ibu bapa dan keluarga. Seluruh keluarga akan bergotong royong menghias rumah dan memasak juadah.

Pagi Aidilfitri biasanya akan dimulakan dengan takbir dari masjid-masjid, yang telahpun berlanjutan dari malam sebelumnya. Pagi-pagi lagi semua orang telah bangun,dan biasanya akan mengunjungi pusara kaum keluarga.Kemudian, kaum wanita akan mengemas rumah manakala kaum lelaki akan bersiap ke masjid untuk menunaikan solat sunat aidilfitri. Masing-masing segak dan cantik dengan pakaian baru.Kanak-kanak adalah yang paling seronok, dimana segalanya dari songkok, baju melayu, atau baju kurung hinggakan kasut adalah serba baru.

Selepas mengerjakan solat sunat Aidilfitri, kaum keluarga akan berkumpul untuk bersalaman dan meminta maaf antara satu sama lain. Anak-anak akan meminta maaf dari ibu bapa, manakala ibu bapa akan meminta maaf dari datuk dan nenek. Menjelang tengahari, semua sanak saudara dan jiran sekampung akan kunjung-mengunjung antara satu sama lain untuk ‘beraya’ atau adat berziarah. Ucapan ‘selamat hari raya ‘ bersilih ganti dan kemaafan dipohon, menandakan kesalahan lalu telah dilupakan.

Kanak-kanak biasanya akan membuat kumpulan lain untuk berziarah, samada ke rumah jiran, saudara atau rakan-rakan , dimana tradisi memberi ‘duit raya’ memeriahkan lagi suasana. Juadah wajib bagi hari raya ialah seperti ketupat, rendang, sambal kacang, lemang, dan serunding. Disamping itu, terdapat banyak jenis kuih dihidangkan, mengikut tempat.

Sambutan hari raya adalah selama sebulan, dimana stail terkini akan terdapat ramai pihak membuat rumah terbuka sepanjang Syawal. Disamping itu, kaum yang kurang bernasib baik seperti anak yatim, orang kurang upaya dan warga emas juga tidak dilupakan. Orang ramai akan tampil membuat sumbangan supaya kemeriahan Aidilfitri memberi sinar kepada mereka.

Hari Raya Aidiladha

Selain dari hari raya Aidilfitri, satu lagi hari perayaan bagi umat Islam seluruh dunia ialah hari raya Aidiladha.Ia disambut pada 10 haribulan Zulhijjah, iaitu dua bulan setelah Syawal.Ia juga dikenali sebagai hari raya Haji atau hari raya Korban.

Nama hari raya Haji diambil sempena dengan ibadah haji yang dilakukan semasa bulan Zulkaedah dan Zulhijjah. Di tanah suci Makkah, kedatangan Aidiladha menandakan sempurnanya ibadah haji. Hari raya Korban pula diambil dari peristiwa ibadah kurban yang dilakukan oleh nabi Allah Ibrahim dan anaknya Ismail.Walaupun baginda berat hati untuk menyembelih anaknya , tetapi nabi Ibrahim tetap melaksanakan ibadah korban demi taatnya baginda kepada Allah Taala.Inilah yang menjadi ikutan oleh umat Islam sampai ke hari ini.

Setiap kali tibanya Aidiladha, seperti Aidilfitri juga umat Islam bersolat sunat pada pagi hari.Dengan berpakaian baru, kemudian umat Islam berkumpul bersama keluarga dan menjamah juadah.Hidangan pada Aidiladha tiada jauh bezanya dengan Adilfitri, ketupat, lemang, rendang, serunding dan kuih muih disediakan.

Kemudian, umat Islam akan keluar ke masjid-masjid semula untuk melaksanakan ibadah korban. Disini, lembu, kambing, biri-biri dan kerbau disembelih. Bahkan stail terbaru sekarang terdapat juga unta disembelih di Malaysia. Ini adalah ibadah sunat yang dituntut sempena Aidiladha, sebagai lambang tulus dan ikhlasnya hamba terhadap Allah Taala.

Selepas binatang ternakan itu disembelih, daging akan dibahagi-bahagikan. Satu pertiga diberi kepada tuan punya, dan selebihnya diberi kepada fakir miskin, jiran-jiran dan semua orang Islam.Hikmah dari cara ini adalah ia mengeratkan silaturrahim dan membantu orang-orang yang kurang berkemampuan.

Aidiladha juga disambut dengan tradisi kunjung mengunjung dan rumah terbuka. Aidiladha juga adalah lambang keabdian hamba kepada Allah, dimana kita harus bersyukur atas nikmatNya dengan menyedekahkan sebahagian harta dengan mereka yang kurang bernasib baik.

Perayaan Hantu Lapar

Perayaan hantu Lapar adalah satu lagi perayaan yang disambut oleh masyarakat Buddha di negara ini.Ia adalah berdasarkan sejarah yang berlaku di Negara China berkurun dahulu.Pada masa dahulu, ada seorang pemuda bernama Mu Lian, yang hidup dengan ibunya yang sangat kedekut. Ibunya selalu menghina pengemis dan menghalau mereka kalau mereka datang meminta makanan.

Mu Lian pula adalah seorang yang baik dan pemurah.Apabila Mu Lian berniat menjadi sami, ibunya sangat marah kerana anaknya tidak lagi bekerjauntuk menambah kesenangannya.Ibunya mengambil keputusan untuk memberi sami makan makanan yang berdaging, supaya sami ini berdosa. Tetapi ibu ini telah mendapat balasan yang setimpal, dimana dia telah dihantar ke neraka. Mu Lian sebagai anak yang baik sentiasa berdoa siang dan malam untuk ibunya. Akhirnya doanya didengari Buddha, maka Buddha memberi keizinan supaya setahun sekali pintu neraka dibuka roh-roh boleh kembali ke bumi dan diberi makanan.Mulai saat itu, pada setiap hari ketujuh dalam bulan ketujuh kelendar Cina adalah hari memperingati hantu-hantu lapar.

Di hari ini, makan dan minuman yang biasanya menjadi kegemaran ahli keluarga yang telah mati diletakkan di luar rumah.Mereka menganggap ahli keluarga yang telah mati akan datang melawat rumah pada hari ini. Tujuannya adalah supaya dalam rumah tidak diganggu roh jahat.' Paper Money' atau duit palsu juga dibakar sebagai persembahan kepada roh, supaya ia boleh digunakan dalam alam mereka. Untuk memastikan yang roh-roh ini tidak mendatangkan mudarat, persembahan

Pesta Kaul Melanau

Kaul Melanau atau pesta Melanau adalah hari kebesaran dan perayaan yang dirayakan oleh orang Melanau di Sarawak. Ia bertujuan menghargai pelbagai jenis semangat, seperti semangat laut, tanah, hutan, dan kebun mereka.Ia dirayakan pada akhir Mac atau awal April setiap tahun.Asal usul perayaan ini dikatakan berbalik pada berkurun dahulu, dimana mereka mempercayaai kepercayaan animisme.

Perayaan ini disambut dengan meriah oleh orang Melanau di sepanjang persisiran pantai Sarawak. Tibou, iaitu buaian setinggi 20 kaki adalah puncak perayaan ini.Pemuda-pemuda akan melompat dari buluh bengkok yang panjang dan akan menangkap tali berayun yang tinggi. Sehingga tujuh atau lapan orang akan bergayut di buain gergasi ini.Ianya akan berbuai-buai di tepi pantai.

Kaul ini juga bukan setakat buaian gergasi. Ia adalah pesta warna warni yang diserikan dengan bot-bot berhias, sukan pantai, dan makanan- makanan Melanau yang enak.Biasanya di musim monsun kuala sungai akan ditutup, dengan tiada seorang pun akan dibenarkan keluar masuk. Semuanya menjalani upacara menyucikan diri.

Kaul dimulakan dengan bot-bot berhias berlayar dengan membawa 'seraheng' iaitu bakul dari buluh.Sementara itu 'bapa Kaul' atau ketua perayaan akan menjamu semangat dengan jampi dan jamuan.Selepas itu terdapat juga permainan pantai, pertunjukan seni mempertahankan diri, tarian tradisional Melanau dan jamuan makan.

Setelah matahari terbenam, pesta disambung di rumah-rumah. Orang-orang akan mengunjungi sanak saudara dan sahabat handai sebagai tanda muhibbah.' Sago' adalah juadah yang istimewa dimasa Kaul ini. Ia adalah sagu yang dimasak dengan pelbagai cara sehingga membangkitkan keenakannya. Orang Melanau memang terkenal sebagai penebang sagu yang mahir di Sarawak.

Walaupun Kaul Melanau ini tidak begitu popular dikalangan orang luar, tetapi masyarakat Melanau merayakannya dengan begitu meriah, sehingga seminggu lamanya.

Maal Hijrah

Maal Hijrah atau disebut juga Awal Muharam, adalah hari penting untuk umat Islam.Ia adalah hari pertama dalam bulan pertama umat Islam.

Maal Hijrah bermaksud perpindahan.Pada hari ini berlaku penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W dari Makkah al Mukarramah ke Madinah al Munawwarah. Peristiwa ini berlaku pada tahun 622 masehi.Makna lain bagi hijrah ialah perubahan daripada keburukan dan kelemahan kepada kebaikan dan kelebihan.Ia boleh menjadi permulaan kepada penilaian terhadap pencapaian diri sendiri.

. Tidak ada ibadah khusus untuk hari ini. Tetapi masyarakat Islam seluruh negara menyambutnya dengan mengadakan tadarus al Quran, berzanji, ceramah dan perarakan. Ter dapat juga anugerah Tokoh Maal Hijrah diperingkat negeri dan kebangsaan. Ini adalah pengiktirafan terhadap sumbangan orang perseorangan Islam yang cemerlang dari segi sahsiah, kerjaya, dan menyumbang pada masyarakat.

10 Muharam pula dikenali sebagai hari as Syura. Ia adalah hari dimana banyak peristiwa besar berlaku dalam Islam.Masjid-masjid seluruh negara biasanya membuat bubur as Syura, dan disedekahkan kepada jemaah, sebagai tanda muafakat.10 Muharram bukanlah cuti umum kepada rakyat, tetapi negeri seperti Johor, Kelantan dan Terengganu mengisyhtiharkan Awal Muharram sebagai cuti umum.

Perayaan Dewa Monyet

Perayaan Dewa Monyet atau "Monkey God Festival' juga disambut oleh penganut Buddha seluruh dunia. Selain Malaysia, ia juga disambut di China, Hong Kong, dan Singapura.Ia perayan meriah yang disambut pada hari ke-16 pada bulan kelapan dalam kelenndar Cina.Ia diriwayatkan bermula beribu-ribu tahun dahulu, dimana Raja Monyet yang dibuang dari syurga Toisme memohon taubat dari Buddha dan memohon keabadian dengan menemani Tang Xuan Zhang berhijrah ke barat dan menyebarkan ajaran Buddha.

Pada masa dahulu, terdapat penganut yang merayakan hari ini dengan memijak bara api dan menggigit pisau tanpa rasa sakit dan cedera, kerana dikatakan telah diresapi semangat Dewa Monyet.Tetapi tidak dimasa sekarang dimana penganut Buddha hanya membakar duit palsu dan kertas doa, lebih- lebih lagi bila perayaan ini disambut di kuil Dewa Monyet yang terletak di Kowloon, Hong Kong.

Di Malaysia, walaupun tidak semeriah di Hong Kong, tetapi sambutan perayaan ini tetap dibuat. Penganut Buddha yang ingin menjalani upacara ditabalkan menjadi 'Raja Monyet' akan bersembahyang dan memanggil rohnya supaya meresap dalm diri mereka.Kemudian akan diadakan persembahan opera Cina berlatar belakangkan cerita Dewa Monyet.Persembahan ini dikatakan untuk Dewa-Dewa, dan juga ditonton oleh orang ramai.

Selain itu, tarian singa dan tarian naga juga dipersembahkan. Penutup untuk persembahan ini ialah bila roh Dewa Monyet hilang dari atas pentas.

Tahun Baru Cina

Sejarah Tahun Baru Cina bermula beribu-ribu tahun dahulu, dimana seekor makhluk ganas yang bernama ‘Nian’ membuat huru-hara di Tanah Besar China. Ini membuatkan manusia hidup dalam ketakutan dan kesengsaraan.Mereka mencari ikhtiar unutk menewaskan makhluk ini. Akhirnya mereka berjaya menakutkan makhluk ini dengan melemparkan reben merah ke udara, meletupkan mercun dan membakar bunga api siang dan malam.

Perayaan Tahun baru Cina adalah menandakan permulaan tahun baru bagi kalender masyarakat Cina.Bersama-sama dengan warna merah, tanglung, mercun dan pakaian ‘cheongsam’ , ia menjadi symbol tradisi kemeriahan masyarakat Cina.

Perayaan yang bersamaan dengan permulaan kepada musim bunga di China adalah permulaan kepada bulan baru dan zodiak baru. Seperti yang kita ketahui, terdapat 12 ekor binatang yang menjadi simbol tahunan kepada orang Buddha. Lagenda meriwayatkan, bahawa suatu masa dahulu Buddha telah menjemput semua binatang untuk mengadapnya, tetapi Cuma 12 binatang sahaja yang sampai. Sebagai penghargaan dari Buddha, kesemua binatang ini diberi penghormatan menjadi zodiak yang mulia bagi masyarakat Cina Buddha.Binatang-binatang itu ialah anjing, khinzir, tikus, monyet, harimau, kambing, ayam, kuda, ular, naga, lembu dan arnab.Kononnya dikatakan bahawa mereka yang lahir dalam tahun-tahun ini akan mewarisi sifat dan untung nasib binatang tersebut.

Di Malaysia, telah diisytiharkan bahawa dua hari pertama bagi Tahun Baru Cina adalah cuti umum.Namun hari kelima belas bagi perayaan ini iaitu hari ‘ Chap Goh Mei ‘ tidak kurang pentingnya. Ia adalah hari terakhir bagi bulan penuh, menandakan penutup bagi perayaan ini.

Sambutan bagi Tahun Baru bermula sebulan sebelum itu. Orang ramai mula membeli belah, terutama baju baru, perhiasan rumah, dan hidangan wajib Tahun Baru seperti kuih bulan dan limau mandarin.Menjelang semakin hampir hari Tahun Baru, rumah-rumah akan dihias indah, bertemakan merah dengan tulisan kaligrafi Cina yang mendoakan kemakmuran dan kekayaan ditahun hadapan.

Di malam Tahun Baru , kaum keluarga samada dekat atau jauh akan berkumpul di rumah ibu bapa untuk upacara makan besar. Ini simbol eratnya ikatan kekeluargaan yang menjadi tunjang mesyarakat harmoni.Hidangan makan malam Tahun Baru ini biasanya adalah tradisi turun temurun seperti itik panggang, khinzir, tiram berkicap, dan sayuran ‘prosperity’ yang dimakan bersama arak.

Selesai makan, semua ahli keluarga akan berdoa dan menjalankan upacara ‘shuo sui’ , yang dipercayaai akan memanjangkan umur seseorang.Bagi yang tua, kemudian malam tahun baru akan dihabiskan dengan bermain ‘mah jong’ sebagai hiburan untuk merapatkan hubungan antara ahli keluarga.Tepat detik tengah malam,mercun dan bunga api akan dibakar, menandakan sambutan Tahun Baru bermula.

Apabila hari siang, lilin upacara akan dibakar, pakaian baru yang berwarna merah akan memeriahkan suasana, disamping ucapan ‘Kong Hee Fatt Choy’ akan diucapkan sesama penganut. Ia membawa maksud ‘ semoga tahun ini akan membawa kebaikan’.Tetamu mula berkunjung membawa limau mandarin, yang bermaksud kekayaan manakala tradisi memberi ‘ang pow’ diteruskan kepada kanak-kanak dan orang yang belum berkahwin. Ia bersamaan dengan memberi duit raya di kalangan umat Islam di masa hari Raya

Terdapat juga tradisi larangan dimasa Tahun Baru Cina ini.Adalah dipercayaai sepanjang 15 hari sambutan perayaan tidak dibenarkan sesiapa pun membuka perniagaan, atau ia akan ditimpa kerugian.Tidak dibenarkan juga menyapu sampah di rumah kerana ia akan menghalau keluar tuah dari ahli rumah.Tarian singa juga dipersembahkan, sebagai tanda memuliakan haiwan ini yang membantu menumpaskan rasaksa jahat.

Dihari ketujuh sambutan Tahun Baru, yang juga dipercayai hari kelahiran manusia, masyarakat Kantonis akan menyediakan sejenis hidangan yang dinamakan ‘yee sang’. Ia kaya dengan herba dan menjadi simbol kehidupan, murah rezeki, dan panjang umur. Masyarakat Hokkien pula menyambut hari kelapan dengan bersembahyang kepada ‘Tian Gong’, iaitu Dewa Syurga.Manakala hari terakhir iaitu ke-15, mereka akan mengadakan perarakan Chinggay, terutama di Pulau Pinang.

Perayaan Bulan Kelima atau Bot Naga

Pada musim panas, masyarakat Cina yang tinggal di persisiran pantai dan tepian laut akan menyambut perayaan 'fifth moon' mengikut kalendar Cina. Ia disambut juga di Malaysia, khasnya di Pulau Pinang.

Nama lain bagi perayaan ini ialah 'Perayaan Penyair Patriotik', mengambil sempena bangsawan Cina di masa dahulu Qu Yuan yang hidup di tahun 278 sebelum masihi. Beliau sanggup mengorbankan dirinya sebagai protes terhadap amalan rasuah dalam kerajaan di masa itu.sebelum beliau terjun ke laut unutk membunuh diri, beliau telah menulis dua buah puisi mengkritik kerajaan.Para nelayan cuba menyelamatkannya, tetapi gagal.Kemudian, puisi itu menjadi sumber semangat bagi rakyat menentang kerajaan yang jahat.

Upacara dilakukan oleh masyarakat Cina setiap hari kelima dalam bulan kelima sebagai memperingati Qu Yuan. Nelayan-nelayan akan meletakkan nasi pada bekas buluh supaya naga laut akan menjaga keselamatan 'penyair patriotik' ini dan keselamatan mereka.Terdapat juga sesetengah tempat yang membuat pertandingan bot naga, khusus menghormati semangat laut ini.

Pesta Gawai Dayak

Perayaan Gawai disambut oleh masyarakat Iban dan Bidayuh di Sarawak untuk meraikan tamatnya musim menuai padi. Pesta Gawai juga dikenali sebagai Gawai Dayak. Pesta Gawai pada kebiasaannya disambut pada akhir bulan May atau awal bulan Jun setiap tahun. Pesta Gawai di Sarawak disambut dengan meriah di bandar-bandar dan di desa dengan persembahan tarian, minuman tuak 'arak beras', dan bersuka-ria. Pesta Gawai di Sarawak telah disambut secara besar-besaran semenjak 1964.

Pada hari pesta Gawai, pelbagai jenis makanan dan air tuak akan dipersembahkan kepada Dewa Padi dan Kekayaan. Satu puisi khas untuk Pesta Gawai akan dibacakan oleh salah seorang daripada mereka sebelum merenjiskan darah ayam jantan ke atas bahan persembahan. Bahan persembahan yang basah dengan darah ayam jantan itu dianggap sebagai pembuka rasmi Pesta Gawai.

Setelah upacara persembahan telah selesai, perayaan Gawai secara tradisi dimulakan. Seluruh masyarakat berkumpul sekitar 'ranyai' atau pokok istiadat yang dibawa masuk kedalam dan diletakkan di serambi umum di rumah panjang. Perayaan berpusat sekitar ranyai dengan makanan dan minuman tuak. Perayaan Gawai merupakan masa untuk semua orang bersuka-ria sambil menjamu hidangan bersama air tapai.

Salah satu acara paling menarik pada perayaan Gawai adalah Ngajat Lesong. Penari akan menunjukkan kekuatan dengan mengangkat lesung menumbuk padi dengan menggunakan giginya.

Ketika perayaan Gawai, perhiasan tradisional Orang Ulu yang diperbuat daripada manik-manik yang diwarisi turun temurun dan tidak ternilai harganya, akan dipakai untuk dipamirkan. Anak dara orang Iban juga akan mengenakan perhiasan perak yang menonjolkan lagi kecantikan paras rupa.Pesta Gawai dianggap berakhir apabila ranyai atau pokok istiadat dibuang.

Pesta Kaamatan

Pesta Kaamatan atau Pesta Menuai ini disambut oleh kaum Kadazan / Dusun sebagai meraikan tuaian yang baik, tetapi Pesta Kaamatan juga disambut oleh semua kaum lain di Sabah. Pesta Kaamatan biasanya disambut sepanjang bulan Mei, bermula dari awal bulan. Kemuncak perayaan Kaamatan adalah peraduan ratu cantik, tarian tradisi, dan upucara kemuncak yang dijalankan oleh Bobohizan atau "ketua bomoh."

Pesta Kaamatan bagi kaum Kadazan juga dikenali sebagai 'Tadau Ka'amatan'. Manakala ‘Megavau’ pula adalah upacara kesyukuran yang penting, dijalankan oleh bobohizan. Megavau dijalankan di sawah padi pada malam bulan mengambang pertama selepas menuai. Bobohizan akan membaca mentera dan seorang pahlawan dengan pakaian tradisi berjalan menghayun pedang untuk menghalau roh jahat.Makanan terbaik seperti tapai dan nasi akan disajikan sebagai jamuan terhadap roh.

Kaum Kadazan percaya kepada makhluk halus dan mereka mempercayai terdapat lima jenis makhluk halus yang dikenali sebagai :- Kinoingan, Ketua makluk halus dan Pencipta , Rusad semangat semua benda hidup kecuali manusia, Koududuvo semangat manusia, Tombivo semangat orang yang telah meninggal, dan Rogon semangat jahat.

Menurut kepercayaan orang Kadazan, semangat padi merupakan sebahagian daripada Kinoingan - yang juga dikenali sebagai Bambaazon, yang disembah sebagai pencipta dan amat berkuasa sumber kepada kehidupan dan kewujupan. Semangat padi Bambaazon amat dimuliakan pada pokok padi, beras, dan nasi. Mereka berpendapat bahawa padi adalah sumber kehidupan.

Ketika pesta Kaamatan, penduduk Sabah mengenakan pakaian tradisi mereka dan bersuka-ria sepanjang hari. Minuman tapai "arak beras" dihidangkan sebagai minuman istimewa Pesta Kaamatan. Penduduk Sabah akan menyapa sesama mereka dengan ucapan 'Kopivosian Tadau Ka'amatan' yang bermaksud ‘Selamat Hari Menuai’.

Pesta Kuih Bulan Dan Tanglung

Pesta Kuih Bulan pula disambut pada hari ke-15 pada bulan kelapan kalendar Cina. Ia menandakan berakhirnya musim menuai pada zaman dahulu kala.Kadangkala ia dikenali juga sebagai Pesta Tanglung.Di Malaysia, masyarakat Cina menyambutnya dengan mengunjungi tokong, berkumpul bersama keluarga, membuat kuih bulan dan menggantung tanglung. Amalan memberi kuih bulan kepada rakan dan saudara mara, bagi mereka adalah untuk mengukuhkan ikatan, kerana kuih bulan adalah lambang hormat.


Pada malam 15 haribulan, ketika bulan mengambang, jamuan kuih bulan, ayam panggang, babi panggang, ubi, dan teh Cina dipersembahkan di tokong. Tanglung- tanglung pelbagai jenis juga digantung di rumah. Bacaan mentera yang disertai dengan pembakaran colok , lilin, dan kertas adalah amalan mereka di malam ini.Selepas itu, kelihatan kanak-kanak membawa tanglung mengelilingi rumah dengan gembira.

Kuih bulan dan tanglung adalah dua aspek penting dalam perayaan ini.Kuih Bulan yang dibuat bagi hari ini adalah melambangkan kesepakatan, kerana bentuknya yang bulat.Biasanya ia diisi dengan inti kacang merah, kacang hitam atau kacang soya.Manakala tanglung bagi memeriahkan perayaan ini terdapat dalam pelbai bentuk, seperti naga, rama-rama, arnab, ketam dan sebagainya.Bentuk -bentuk ini bagi masyarakat Cina akan memberi tuah kepada mereka. Di Malaysia, kemeriahan ini dapat dirasai jika kita berkunjung ke Petaling Street pada malam itu.

Pesta Pongal Masyarakat Hindu

Satu lagi perayaan yang dirayakan oleh masyarakat Hindu di Malaysia ialah pesta pongal.Perkataan 'pongal' adalah bermaksud 'masa menuai' dan ia menandakan masa untuk mereka menuai hasil tanaman mereka di masa lalu.

Di pagi hari pada pesta Pongal biasanya kaum wanita akan mengemas rumah dan menghiasi rumah dengan 'kolams'. Kolams ialah hiasan lantai yang diperbuat dari beras yang diwarnakan.Biasanya kolams ini dibuat di depan pintu rumah, sebagai tanda selamat dan rahmat supaya isi rumah mendapat kesejahteraan.Kemahiran membuat kolams ini biasanya diwarisi turun temurun. Walaupun nampak susah, tetapi masyarakat Hindu boleh membuat kolams yang unik, cantik dan menarik- kebanyakannya bermotifkan tumbuhan.

Beras yang diguna membuat kolams ini juga boleh dimasak untuk dijadikan juadah kepada tetamu.Beras manis ini dimasak dengan kunyit dan halia dan dimakan dengan dhal dan susu. Tidak ketinggalan juga minyak sapi dan badam.selain dari dijadikan hidangan tetamu, beras ini juga diletak di kuil untuk dipersembahkan kepada Dewa.Oleh kerana beras ini manis, biasanya kolams yang dibuat akan habis dimakan oleh serangga. bagi masyarakat Hindu, ini adalah kebajikan yang mereka buat untuk haiwan.

Selain juadah yang disebutkan, terdapat juga makanan tradisi yang lain seperti 'vadaas' , 'payasam' dan keledek untuk dijamu semasa Pongal.Perayaan ini biasanya disambut selama empat hari.Pada hari pertama, ia dikenali sebagai hari 'Bhogi' iaitu hari untuk menyembah Dewa Hujan.Dihari ini penganut Hindu akan mengamalkan mandi minyak bijan,sebagai permohonan untuk kehidupan baru yang lebih baik.

Hari kedua semasa Pongal ialah hari 'Surya'. Ia adalah khas untuk Dewa Matahari. upacara yang dilakukan pada hari ini ialah memasak beras bersama susu lembu, untuk dipersembahkan kepada Dewa Matahari.Hari ketiga adalah hari yang dikhaskan untuk haiwan lembu.Ia dipanggil hari 'Mattu'. Masyarakat Hindu percaya bahawa lembu ialah binatang suci yang banyak berjasa kepada manusia.

Hari terakhir Pongal pula adalah hari dimana kawan-kawan yang berjauhan datang untuk melawat.Ia membawa muhibbah dan persaudaraan kepada mereka yang lama terpisah.Perayaan Pongal ini bolehlah diaanggap hari masyarakat Hindu mengukuhkan ikatan sesama mereka.

Regatta Lepa Semporna

Masyarakat Bajau di persisiran pantai timur Sabah merayakan perayaan Regatta Lepa ini.’Lepa’ dalam bahasa Bajau ialah sampan atau bot.Ia biasanya diperbuat dari kayu seraya, dan menjadi simbol kaum Bajau sejak lama dahulu.Lepa ini banyak terdapat di masyarakat nelayan yang tinggal di Pulau Bum.

Di masa sambutan Regatta ini, Semporna menjadi meriah kerana perahu dan bot yang berwarna warni akan bersiap sedia untuk mengambil bahagian dalam pertandingan Lepa tercantik.Lepa tercantik ini dihakimi berdasarkan dari corak, tarian yang dipersembahkan di atasnya,’ sambulayang ‘( layar) dan tapis-tapis ( bendera ).

Tarikan lain di Pesta Regatta ini ialah seperti acara sukan air seperti pertandingan mendayung, berlayar, dan ‘keleh-keleh’ iaitu bot mini.bagi yang tidak berkemahiran menyertai sukan air boleh bermain perang-perang, lumba berenang, atau pertandingan menangkap itik.Persembahan kesenian pada malamnya adalah penutup kepada Regatta Lepa Semporna ini.

No comments:

Nuffnang...

English-Malay Automatic Translation